Skip to main content

ππ‘πŽπ†π‘π€πŒ 𝐁𝐄𝐀𝐂𝐇 ππ‹πŽπ†π†πˆππ† & ππ„ππ€ππ€πŒπ€π 𝐏𝐎𝐊𝐎𝐊 πŠπ„π‹π€ππ€

20250831 084604new

Pada 31 Ogos 2025, bersempena dengan cuti Sambutan Hari Kemerdekaan, satu program bertemakan kelestarian alam sekitar iaitu Beach Plogging & Penanaman Pokok Kelapa telah dianjurkan oleh Unit Sains Rekonstruktif PPSP USM dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok. Program ini berlangsung di Pantai Kemasin, Bachok dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Seramai 40 orang sukarelawan hadir seawal pagi bagi menjayakan aktiviti ini. Program dimulakan dengan bacaan doa diikuti nyanyian Lagu Jalur Gemilang sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar, Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif serta Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif USM.

Seterusnya, penyampaian cenderamata telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Ahmad Sukari bin Halim, Pakar Perunding Kanan Bedah Plastik dan Rekonstruktif, USM kepada Penghulu Kampung Kemasin, diiringi oleh Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar. Majlis turut diserikan dengan pengagihan kit program dan jamuan sarapan pagi secara potluck.

Selepas itu, peserta bersama-sama melaksanakan dua aktiviti utama, iaitu penanaman 10 pokok kelapa di pesisir pantai dan aktiviti beach plogging (kutipan sampah sepanjang pantai). Aktiviti ini berlangsung dengan penuh semangat kerjasama, disertai oleh semua sukarelawan tanpa mengira usia.

Menjelang tengah hari, hasil kutipan berjaya mengumpulkan sebanyak 30 beg sampah, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi para peserta terhadap usaha menjaga kebersihan dan kelestarian pantai. Program diakhiri dengan sesi penutup sebelum peserta bersurai pada jam 12.00 tengah hari.

Penganjuran ini bukan sahaja memberikan impak positif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai, malah turut menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air sempena Hari Kebangsaan. Penanaman pokok kelapa pula diharap dapat menyumbang kepada kelestarian ekosistem pesisir dalam jangka masa panjang.