Skip to main content
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐋𝐈𝐁𝐀𝐓𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐔𝐍𝐈𝐕𝐄𝐑𝐒𝐈𝐓𝐈-𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈 𝐁𝐉𝐈𝐌: 𝐏𝐄𝐌𝐈𝐍𝐃𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐏𝐄𝐍𝐂𝐄𝐆𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐋 𝐋𝐔𝐊𝐀 𝐌𝐄𝐋𝐄𝐂𝐔𝐑 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐁𝐀𝐊𝐀𝐑
Pada 23 Februari 2025, Program Libatsama Universiti-Komuniti BJIM: Pemindahan Ilmu Untuk Pencegahan Dan Rawatan Awal Luka Melecur Dan Terbakar Bagi Pelajar Sekolah Terpilih Di Kelantan telah berjaya dilaksanakan di Dewan Aerobik, Kompleks Sukan 1, Kampus Kesihatan USM.
Program ini dianjurkan oleh Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, bersama Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Pakar USM, dengan kerjasama Jabatan Perubatan Masyarakat USM, Jabatan Perubatan Kecemasan USM, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan (JBPM).
Program diketuai oleh Dr Nur Azida Mohd Nasir ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada guru-guru sekolah tentang rawatan awal luka melecur dan terbakar serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan, terutamanya kebakaran. Sebagai golongan yang berperanan penting dalam membentuk generasi masa depan, para guru bukan sahaja bertanggungjawab dalam pendidikan akademik, tetapi juga dalam memberikan latihan kemahiran yang boleh menyelamatkan nyawa.
Konsep Training of Trainers digunakan dalam program ini, di mana para guru yang dilatih bukan sahaja mendapatkan pengetahuan untuk diri mereka sendiri, tetapi juga dilatih untuk menyebarkan ilmu dan kemahiran yang mereka peroleh kepada orang lain.
Dengan pendekatan ini, para peserta diharapkan dapat menyebarkan pengetahuan tentang rawatan awal luka melecur dan terbakar dalam komuniti sekolah mereka, seterusnya memperkasa lebih ramai individu dengan kemahiran penting ini. Program ini juga memastikan latihan ini tidak terhad kepada satu kumpulan sahaja, tetapi dapat diperluaskan kepada lebih ramai orang yang memerlukan.
Secara keseluruhan, program ini memberi manfaat yang besar kepada peserta, dengan harapan agar pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat diteruskan dan diaplikasikan dalam situasi kecemasan.
Program ini juga dijangka akan memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran di kalangan guru dan masyarakat.