Skip to main content

Pensampelan Air dan Tanah di Taman Negeri Lubuk Yu, Maran, Pahang pada 2829 Jun 2024

Maran: Pada 28 hingga 29 Jun 2024 yang lalu, sekumpulan enam orang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian telah berkampung selama dua hari satu malam di Hutan Taman Negeri Lubuk Yu yang terletak di daerah Maran, Pahang, bagi menjalankan aktiviti pengumpulan sampel air dan tanah di sepanjang Sungai Jempol. Kumpulan tersebut terdiri daripada Dr Nik Zuraina Nik Mohd Noor, Dr Mohd Zulkifli Salleh, Mohd Noh Hafizan Osman, Nur Syafiqah Mohd Nasir, Siti Nurainsyah Osman dan Wan Alif Syazwani Wan Alias.

Penyelidikan ini dibiayai oleh dana daripada Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Lubuk Yu, 2024 oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang telah dianugerahkan kepada Profesor Zakuan Zainy Deris, Dr Nik Zuraina Nik Mohd Noor, Dr Mohd Zulkifli Salleh, dan Dr Mohammad Ridhuan Mohd Ali.

Perjalanan sejauh 440 km dari USM Kubang Kerian ke Hutan Taman Negeri Lubuk Yu mengambil masa lebih kurang enam jam. Bertolak pada pukul 3.00 petang Khamis, 27 Jun 2024, kumpulan penyelidik bermalam di sebuah rumah tumpangan yang berdekatan sebelum memulakan aktiviti pensampelan pada pukul 8.00 pagi Jumaat, 28 Jun 2024. Aktiviti bermula dari stesen pertama di tapak rekreasi Taman Eko-rimba Lubuk Yu sebelum bergerak ke stesen-stesen seterusnya dengan jarak di antara setiap stesen adalah sejauh 100 – 300 meter. Perjalanan merentasi denai hutan diiringi dan dibantu oleh beberapa orang malim gunung yang menjadi pemandu arah dan pembimbing pergerakan di hutan. Setelah menghampiri waktu tengah hari, penyelidik berhenti rehat di stesen ke 11 untuk memasang khemah, menyediakan makanan tengah hari dan solat. Perjalanan diteruskan sehingga ke stesen terakhir iaitu di stesen yang ke 15 sebelum berpatah balik ke tapak perkhemahan sebelum hari beransur senja untuk berehat, solat, makan malam dan bermalam di dalam hutan.

Pada setiap stesen, aktiviti pensampelan dilakukan dengan mengambil sedikit sampel tanah dan air di tiga lokasi yang berbeza, di samping merekod bacaan pH dan suhu sampel. Sebanyak 180 jumlah keseluruhan sampel tanah dan air telah dikumpul di sepanjang 6 kilometer persisiran Sungai Jempol. Sampel-sampel yang diperoleh dihantar ke Institut Kesihatan Negara (Malaysia) di Shah Alam, Selangor, untuk diproses dan dianalisis bagi mengesan kehadiran kuman penyebab penyakit kencing tikus, meliodosis dan taun.

Laporan aktiviti penyelidikan disediakan oleh: Dr. Nik Zuraina Nik Mohd Noor, 3 Julai 2024