Skip to main content

'HEALING LITTLE HEART' PROGRAM KEBAJIKAN KARDIOTORASIK HASIL KERJASAMA PELBAGAI PIHAK

Petikan: https://www.kk.usm.my/index.php (klik)

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Jun 2024 - Pasukan perubatan Yayasan 'Healing Little Hearts' (HLH) dari United Kingdom meneruskan usaha membantu 10 lagi pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital di Pantai Timur dengan melakukan pembedahan amal melalui Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)-HLH.

1

Program kebajikan yang dijalankan sejak tahun 2015 itu ternyata berjaya memberi harapan baharu kepada pesakit kanak-kanak terlibat.2

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain berkata, dalam tempoh berkenaan kira-kira 90 orang pesakit telah mendapat manfaat daripada lebih 100 pembedahan yang dijalankan dan kini telah memasuki tahun ke-10 siri lawatan HLH ke Hospital USM.

3

Menurutnya, siri lawatan pasukan HLH tahun ini disertai enam (6) orang terdiri daripada Pakar Kardiologi Pediatrik, Pakar Intensivis, jurupulih perubatan (fisioterapi) dan jururawat dari Hospital Glenfield Leicester, United Kingdom yang bergabung kepakaran dengan pakar-pakar serta kakitangan Hospital USM.

4

"Program yang bermula sejak 2 Jun lalu ini dijadualkan akan membantu lapan (8) hingga 10 pesakit jantung kanak-kanak dari Kelantan dan juga Terengganu berusia di antara 21 hari hingga lapan tahun.

5

"Semua pesakit kanak-kanak ini menghidap pelbagai masalah jantung kongenital dan dijadualkan menjalani pembedahan yang diketuai oleh Dr. Ahmad Zuhdi Mamat, pakar bedah jantung Hospital USM dan dibantu oleh pasukan perubatan HLH serta kakitangan Hospital USM," katanya ketika ditemu bual hari ini.

Mohd. Rizal yang juga Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik USM-HLH berkata, kos yang perlu dibayar bagi setiap pesakit yang menjalani pembedahan melalui program ini sangat minimum iaitu kurang dari RM3,000 malah ada juga pesakit yang tidak dikenakan bayaran bergantung kepada alatan dan ubatan yang diperlukan untuk setiap pesakit.

7

Ujarnya, kos sebenar untuk setiap pesakit boleh mencecah lebih dari RM20,000, namun bagi yang kurang berkemampuan mereka akan dirujuk kepada Unit Kerja Sosial Perubatan Hospital USM untuk mendapatkan bantuan dan pengurangan.

8

Pesakit kanak-kanak yang terpilih menjalani pembedahan jantung melalui program ini tidak perlu lagi dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan dan hal ini sekaligus membantu mengurangkan tempoh menunggu bagi menjalani pembedahan jantung.

9

"Usaha ini turut mendapat sokongan dan sumbangan dana dari Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS), Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM), ‘Ronald McDonals House Charity’ (RMHC) termasuk orang perseorangan," katanya.

10

Sementara itu, ibu kepada seorang bayi berusia sembilan (9) bulan, Wan Ainun Wan Zahari, 22, berkata, luluh hatinya selepas mengetahui mengenai anak keduanya yang masih bayi dan tidak mengerti apa-apa terpaksa menanggung kesakitan akibat sesak nafas.

 

13

Menurutnya, anak keduanya itu, Nur Aleeya Ammara Muhammad Amzar, terpaksa ditahan di wad selepas dilahirkan sembilan (9) bulan lalu di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum dirujuk ke Hospital USM untuk rawatan lanjut berhubung masalah jantung.

"Anak saya sering bernafas dalam keadaan berbunyi dan apabila dirujuk ke Hospital USM, doktor sahkan beliau mengalami masalah jantung berlubang.

"Hari ini, saya bersyukur apabila anak saya merupakan antara yang terpilih menjalani pembedahan ini kerana ia turut membantu mengurangkan beban keluarga.

“Saya dimaklumkan kos pembedahan mencecah lebih RM35,000 jika dilakukan di luar,” ujarnya.

 

11

Bapa kepada seorang lagi pesakit, Syarif Adam Asraf Sukarmee, 30, berkata, beliau amat bersyukur anaknya juga turut terpilih menjalani pembedahan pada kali ini.

“Saya bekerja sebagai buruh dan hanya berpendapatan RM900 sebulan kini terpaksa menjaga anak sulung, Syifa Sophia Syarif Adam Asraf, enam (6) tahun yang perlukan perhatian sepenuhnya sepanjang mendapatkan rawatan di hospital kerana isteri saya tidak bekerja dan menjaga anak kedua yang baru sahaja berumur empat (4) bulan.

12

Saya mengetahui mengenai kaedah pembedahan ini selepas diberitahu oleh pihak hospital setelah anak saya dimasukkan ke wad bagi menjalani rawatan susulan, dan alhamdullilah pembedahan ini memberi sinar baharu kepada kanak-kanak seperti anak saya untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih sihat,” katanya.

Menurut Syariff lagi, sebelum ini anak sulungnya itu kerap demam dan sering dirujuk ke hospital disebabkan masalah jantung yang dialami.

“Saya berharap agar anak sulung saya ini dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini dan ceria seperti kanak-kanak seusianya,” jelasnya lagi.

Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on 05 June 2024.