PROGRAM SAMBUTAN BAYI PRAMATANG 2024 PERINGKAT HOSPITAL PAKAR USM
PROGRAM SAMBUTAN BAYI PRAMATANG 2024 PERINGKAT HOSPITAL PAKAR USM:
PERJALANAN INSPIRASI DAN KESEDARAN KOMUNITI
Jabatan Pediatrik Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Kerjasama Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM telah menganjurkan Program Sambutan Hari Bayi Pramatang 2024 bersempena Hari Bayi Pramatang Sedunia yang bertemakan “Small actions, BIG IMPACT: Immediate skin-to-skin care for every baby everywhere.” Program telah berlangsung dari 18 hingga 23 November 2024. Program selama enam hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cabaran bayi pramatang, menyokong keluarga yang terlibat, dan mempromosikan penjagaan komprehensif untuk bayi pramatang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan bukan sahaja mendidik tetapi juga mengukuhkan hubungan antara keluarga bayi pramatang, komuniti, dan pasukan kesihatan.
- Pameran Kesedaran (18-21 November 2024)
Pameran Kesedaran Bayi Pramatang bertempat di Lorong Farmasi Pesakit Luar USM. Pameran selama empat hari ini menyediakan pelbagai stesen interaktif yang memberi maklumat berguna kepada pengunjung. Pegawai perubatan dan jururawat bertugas memberikan panduan praktikal serta demonstrasi. Demonstrasi Basic Life Support (BLS) memberikan peluang kepada pengunjung untuk mempelajari teknik CPR asas yang penting bagi bayi pramatang dalam situasi kecemasan seperti bayi tersedak atau tidak bernafas. Aktiviti interaktif ini membolehkan peserta mencuba teknik BLS menggunakan patung simulasi, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi situasi kecemasan. Selain itu, kaedah Kangaroo Mother Care (KMC), yang menggalakkan hubungan kulit ke kulit antara ibu dan bayi, turut diterangkan secara terperinci. Jururawat terlatih menunjukkan manfaat KMC seperti membantu menstabilkan suhu badan bayi serta merangsang hubungan emosi. Demonstrasi praktikal turut dijalankan untuk membantu ibu bapa menguasai teknik ini bagi penjagaan harian bayi mereka.
Dalam masa yang sama, pameran peralatan perubatan seperti incubator, TPN dan ventilator dipamerkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang sokongan teknologi perubatan dalam proses perawatan bayi pramatang. Pengunjung berpeluang melihat demonstrasi fungsi peralatan ini secara dekat. Kesedaran tentang penyusuan susu ibu juga diperkukuh melalui sesi perkongsian oleh pakar laktasi yang menekankan kepentingan susu ibu sebagai nutrisi utama bagi bayi pramatang. Sesi soal jawab dan poster pendidikan telah disediakan untuk menggalakkan ibu bapa menjadikan susu ibu sebagai pilihan utama. Tambahan itu, kuiz interaktif yang menyeronokkan diadakan untuk meningkatkan pemahaman pengunjung mengenai penjagaan bayi pramatang. Peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul menerima token hadiah sebagai dorongan. Pameran ini memberi impak positif kepada komuniti, melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran asas yang penting untuk menyokong bayi pramatang dan keluarga mereka.
Preemie Walk (22 November 2024)
Preemie Walk yang berlangsung di Padang Astaka USM berjaya menarik 300 peserta. Acara telah bermula seawal jam 6.45 pagi dengan suasana ceria dan penuh semangat. Peserta diberikan belon berwarna ungu sebagai simbol solidariti kepada bayi pramatang.
Meskipun hujan lebat, semangat para peserta tidak luntur. Larian simbolik ini mencerminkan kekuatan dan ketabahan bayi pramatang dalam perjuangan hidup mereka. Sesungguhnya, hujan yang turun sepanjang "Preemie Walk" kita mempunyai pengertian yang amat bermakna. Ianya bagaikan perjalanan bayi pramatang kita; kadangkala ditimpa ribut (seperti hujan), kadangkala diuji dengan cabaran (seperti guruh). Namun kita tetap teguh melangkah ke hadapan, seiringan Bersama.
Acara ini telah dirasmikan oleh Prof Wan Hazabbah (Timbalan Dekan, Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan) dan beliau menekankan pentingnya sokongan komuniti kepada keluarga bayi pramatang.
Selepas itu, sesi cabutan bertuah menjadi kemuncak yang dinantikan, di mana pelbagai hadiah menarik seperti baucar dan peralatan eletrik dan hamper hadiah diberikan kepada peserta yang bertuah. Acara ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan kesedaran tentang cabaran bayi pramatang.
- Majlis Sambutan Bayi Pramatang (23 November 2024)
Majlis kemuncak yang telah berlangsung di Dataran Merah USM pada 23 November dipenuhi pelbagai aktiviti menarik yang meraikan kekuatan dan keajaiban bayi pramatang. 22 orang bayi pramatang bersama keluarga mereka telah sama-sama memeriahkan majlis. Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran dan photobooth yang mencipta suasana ceria apabila keluarga mengambil gambar bersama bayi pramatang mereka, menjadikan detik ini sebagai kenangan indah yang abadi. Pelbagai aktiviti kekeluargaan dan aktiviti untuk kanak-kanak telah diadakan bagi menceriakan suasana, termasuk pertandingan mewarna yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti mereka. Acara yang paling menarik perhatian ialah pertunjukan fesyen bertemakan ‘Fairy Tale’, di mana kanak-kanak tampil comel dalam pakaian ‘fairy tale’. Selain itu, permainan interaktif seperti Snake Ladder dan sesi face painting mengeratkan hubungan antara keluarga sambil membawa keceriaan kepada semua peserta.
Dalam ucapan perasmian oleh YBrs. Dr. Tengku Mastura (Ketua Unit Klinikal HPUSM), beliau telah menekankan usaha yang berterusan untuk menyokong keluarga bayi pramatang, menekankan kepentingan sokongan komuniti dalam meringankan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa. Sesi tayangan multimedia pula menyentuh hati semua yang hadir dengan memaparkan kisah perjuangan bayi pramatang serta pengalaman keluarga mereka. Pengalaman ini turut dilengkapi dengan perkongsian secara langsung daripada ibu bapa, yang memberikan inspirasi dan kekuatan kepada keluarga lain yang menghadapi cabaran serupa. Majlis diakhiri dengan penuh simbolik melalui sesi memotong kek dan bergambar bersama tetamu kehormat serta peserta, menandakan penutup kepada program yang penuh bermakna ini.
Kesimpulan
Program Sambutan Bayi Pramatang 2024 Peringkat USM telah mencapai objektifnya dengan cemerlang, mengeratkan hubungan komuniti, meningkatkan kesedaran, dan memberikan sokongan moral kepada keluarga bayi pramatang. Kejayaan ini membuktikan pentingnya kerjasama antara pihak kesihatan, keluarga, dan masyarakat dalam mewujudkan komuniti yang lebih prihatin dan inklusif. Diharapkan program ini menjadi pemangkin kepada inisiatif yang lebih besar pada masa hadapan, terus menyemarakkan solidariti dan harapan untuk bayi pramatang dan keluarga mereka.