PANDUAN RESUSITASI BAYI UNTUK KOMUNITI
"CARDIOPULMONARY RESUSCITATION (CPR)”
JOM KITA BELAJAR CPR
Apa itu CPR?
CPR adalah singkatan untuk "Cardiopulmonary Resuscitation" atau dalam Bahasa Melayu, "Resusitasi Kardiopulmonari". CPR merupakan rawatan kecemasan awal bagi membantu bayi apabila degup jantung berhenti. Ia bertujuan untuk mengekalkan pengaliran darah dan oksigen ke otak dan organ-organ penting lain sehingga bantuan perubatan profesional tiba
CPR melibatkan dua komponen utama:
- Pernafasan mulut ke mulut - memberi nafas kepada bayi untuk membekalkan oksigen.
- Tekan dada - menekan dada bayi untuk membantu pengaliran darah.
Bagaimana CPR boleh menyelamatkan mangsa melalui:
- Membekalkan oksigen: pernafasan mulut ke mulut membekalkan oksigen kepada paru-paru bayi, yang kemudian diedarkan ke seluruh badan.
- Mengekalkan peredaran darah: tekan dada bagi membantu pengaliran darah yang mengandungi oksigen ke organ-organ penting, terutamanya otak.
- Mencegah kerosakan otak: dengan mengekalkan aliran darah dan oksigen ke otak, CPR boleh mencegah atau mengurangkan kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
- Membeli masa: CPR boleh membantu mengekalkan fungsi badan bayi sehingga bantuan perubatan profesional tiba.
- Meningkatkan peluang hidup: bayi yang menerima CPR dengan segera mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk bertahan berbanding mereka yang tidak menerima bantuan.
Ingatlah, setiap saat adalah penting dalam situasi kecemasan dan pengetahuan anda boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Kemahiran yang anda pelajari pada hari ini boleh membuat perbezaan besar dalam situasi kecemasan. Kami sangat menggalakkan anda semua untuk terus mengasah kemahiran ini dan berkongsi pengetahuan dengan keluarga dan rakan-rakan. Semakin ramai orang yang tahu melakukan CPR, semakin selamat komuniti kita.
~Dr Farohah CMZ~
Pakar Kanak-Kanak & Bayi.