Skip to main content

DSC 5555

Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh Program Sarjana Perubatan

Kubang Kerian, 16 – 18 Ogos 2026 — Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan panel penilai bagi Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh melibatkan empat program Sarjana Perubatan.

Program yang terlibat ialah Sarjana Perubatan (Psikiatri) (MQA/FA 19142), Sarjana Perubatan (Pediatrik) (MQA/FA 19140), Sarjana Perubatan (Perubatan Keluarga) (MQA/FA 19141) dan Sarjana Perubatan (Perubatan Penyakit Dalam) (MQA/FA 19145).

Lawatan penilaian yang berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 16 hingga 18 Ogos 2026, merupakan satu proses penting dalam memastikan pelaksanaan program pengajian sentiasa memenuhi standard serta kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Penilaian ini turut menjadi platform bagi menilai keberkesanan tadbir urus, pengurusan akademik, proses pengajaran dan pembelajaran, kemudahan serta sumber sokongan yang disediakan kepada pelajar.

Sepanjang lawatan, panel penilai berpeluang meneliti pelbagai aspek berkaitan pelaksanaan program, termasuk dokumentasi akademik, struktur dan kandungan kurikulum, kaedah penilaian, pengurusan pelajar, tenaga pengajar, kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta aspek penyelidikan dan pembangunan profesional.

Sesi perbincangan dan temu bual bersama pihak pusat pengajian, staf akademik, staf sokongan serta pelajar turut diadakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan dan kualiti program yang ditawarkan.

Lawatan penilaian ini mencerminkan komitmen PPSP dan USM dalam memastikan program Sarjana Perubatan yang ditawarkan sentiasa berkualiti, relevan dan memenuhi keperluan pendidikan serta perkhidmatan kesihatan semasa. Ia juga menjadi salah satu usaha berterusan USM dalam memperkukuh budaya penambahbaikan kualiti dan kecemerlangan akademik.

Pihak PPSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada panel penilai, pihak pengurusan USM, staf akademik dan sokongan serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang berlangsungnya lawatan penilaian akreditasi penuh ini.

PPSP, USM terus komited dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan perubatan dan melahirkan graduan yang kompeten, profesional serta berkualiti tinggi.